Suspek yang diburu polis selepas larikan diri tanpa membayar e-hailing lebih seminggu lalu berjaya ditahan di Bukit Tinggi Klang semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang diburu lebih seminggu bagi membantu siasatan dalam kes cubaan mengelak membayar tambang bayaran perkhidmatan e-hailing di Klang, Selangor ditahan polis petang semalam di Bandar Bukit Tinggi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek berusia 27 tahun yang mempunyai lima rekod jenayah lampau dihadapkan ke mahkamah Klang pagi tadi untuk mendapatkan perintah reman di bawah Sekyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kini, suspek warga tempatan itu telah direman empat hari sehingga Isnin depan untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Hoong Fong, kertas siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat bagi tindakan pendakwaan di mahkamah.

Pemburuan susupek dilakukan berikutan laporan yang dilakukan seorang pemandu e-hailing di Balai Polis Pandamaran pada 16 Ogos yang mana mangsa menerima pesanan untuk mengambil penumpang (suspek) di hadapan sebuah kedai serbaneka di Klang untuk dihantar ke sebuah bank di Bandar Baru Sungai Buloh. – MalaysiaGazette