KUANTAN – Operasi mencari dan menyelamat remaja dikhuatiri lemas di Kota Bahagia, Rompin semalam berakhir petang ini apabila mayatnya ditemukan kira-kira lima meter dari lokasi terakhir beliau hilang.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa, Mohd Iman Daniel Azri, 14, yang beralamat di Felda Keratong 4, Rompin ditemukan kira-kira pada jam 7 petang tadi.
“Mayat mangsa telah dijumpai oleh pihak bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) setelah timbul pada jarak lima meter dari lokasi dia hilang iaitu di Sungai Lubuk Batu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Semalam media melaporkan seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus dipercayai ketika mencari kepah di Sungai Lubuk Batu, Kota Bahagia, Rompin. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN