Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Sambutan 100 Tahun Amanahraya di M Resort Hotel, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan prestasi agensi-agensi kerajaan selama lapan bulan mengetuai pentadbiran negara.

Perdana Menteri berkata, sepanjang tempoh itu, tiada ketirisan atau kecurangan yang beliau kesan dalam pentadbiran agensi-agensi dibawah kerajaan.

“Lapan bulan saya mengetuai negara, saya meneropong dan menyelurusi setiap agensi malah dipantau kalau ada apa-apa ketirisan, kerosakan dan kecurangan.

“Saya syukur setakat ini Amanah Raya dianggap prestasinya baik,” katanya dalam ucapan sempena majlis makan malam sambutan 100 tahun AmanahRaya di Petaling Jaya, malam tadi.

Hadir sama adalah Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan.

Dalam pada itu, Anwar berharap AmanahRaya mengekalkan prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh agensi tersebut.

“Saya harap semangat ini dikekalkan kerana ia tak hanya terletak kepada pimpinan sahaja malah seluruh jentera juga harus menjamin kebersihan,” katanya

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Sambutan 100 Tahun Amanahraya di M Resort Hotel, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OGOS 2023.

Pada majlis sama, Anwar melancarkan logo khas 100 tahun AmanahRaya.

AmanahRaya merupakan syarikat milik penuh kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada 1921.

Syarikat itu merupakan peneraju dalam industri Perancangan Pusaka dan Pengurusan Harta di Malaysia.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, agensi di bawah kerajaan seperti AmanahRaya perlu sedar mengenai tanggungjawab yang dipikulnya.

Katanya, ini kerana memegang amanah merupakan satu tanggungjawab yang besar.

“Mengabaikan atau mengkhinati amanah anak yatim dan orang miskin itu Al-Quran menyebut orang mendustakan

“Sebab itu sementara saya beri pujian mengawal jumlah berbilion ringgit, tetapi kalau lihat dari konteks ini, maka kita harus terpanggil dan tersentuh perasaan.

“Ia bahawa kita tingkatkan lebih baik termasuk meningkatkan tahap pengurusan, terima idea baru dan transformasi digital yang diperlukan,” katanya. – MalaysiaGazette