KUALA LUMPUR – Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman sedang menyiasat isu bacaan doa Islam dalam satu majlis pecah tanah di ibu pejabat MIC di ibu negara baru-baru ini selepas menerima satu laporan oleh orang awam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, laporan polis itu diterima pada 22 Ogos lalu.
“Setakat ini, kita terima satu laporan berhubung insiden berkenaan pada 22 Ogos lalu daripada seorang individu, sehari selepas kejadian itu dan ia sedang dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman,” katanya ketika ditanya pemberita pada sidang media bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-66 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Allaudeen menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu cepat membuat andaian dan spekulasikan terhadap mana-mana isu tanpa sebarang usul periksa.
Sebaliknya, beliau mengingatkan awam agar bersikap matang dan bijaksana dengan memeriksa terlebih dahulu sesebuah isu yang ditularkan.
“Periksa dulu sebelum buat keputusan untuk tularkan (sesuatu isu). Jangan jari-jemari terlalu laju untuk tularkan sesuatu isu.
“Kita kena lihat apa kesan (tularkan sesuatu isu) kerana kita tidak boleh tarik balik (apa yang dimuat naik di media sosial). Disebabkan itu, kita perlu semak dulu kesahihan isu terbabit sebelum ditular dan dikongsi di media sosial,” katanya.
Sebelum ini satu video tular berdurasi 57 minit memaparkan bacaan doa dalam majlis upacara pecah tanah projek pembinaan bangunan baharu ibu pejabat MIC di tanah parkir sebelah bagunan MIC di Jalan Rahmat telah mencetuskan kemarahan dan rasa kurang senang orang ramai.
Berikutan itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menerusi satu kenyataan telah melakukan siasatan lanjut berhubung isu terbabit bagi memastikan amalan itu tidak mengandungi unsur menyalahi pandangan hukum atau fatwa.
Menurut Jawi, sebarang kesalahan berhubungan dengan akidah boleh dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman di bawah Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
Mengulas tarian gelek ‘separuh bogel’ di Bukit Bintang di hadapan sebuah premis aksesori dan pakaian wanita di Bukit Bintang yang tular di media sosial, baru-baru ini, Allaudeen menegaskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah pun mengambil tindakan dalam perkara itu.
“Malah, premis itu juga sudah disita dan ditutup,” katanya.
Terdahulu, satu rakaman video memaparkan beberapa wanita menari tarian gelek dengan pakaian mencolok mata di Bukit Bintang tular di media sosial, baru-baru ini.- MalaysiaGazette