KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyiasat isu video bacaan doa dalam suatu program pecah tanah yang dianjurkan oleh orang bukan Islam di sini baru-baru ini.
Menurut JAWI, siasatan dilakukan untuk memastikan tiada unsur menyalahi pandangan hukum dan fatwa berkaitannya.
Kata jabatan tersebut, kesalahan yang berhubungan dengan akidah boleh dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman di bawah Aka 559, Aka Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
“Keharmonian dan toleransi antara agama adalah perkara yang disarankan ole ajaran Islam lebih-lebih lagi dalam situasi negara yang berbilang kaum,” kata JAWI menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, semua pihak dinasihatkan supaya sentiasa merujuk kepada pihak autoriti agama bagi memastikan tindakan yang dilaksanakan mengikut lunas hukum syarak yang telah ditentukan.
Tular di media sosial rakaman video mengenai satu program pecah tanah bangunan ibu pejabat sebuah parti di ibu negara diadakan dalam suasana upacara keagamaan bukan Islam.
Namun berdasarkan rakaman video berkenaan, seorang lelaki dipercayai beragama Islam sedang membacakan doa di hadapan beberapa individu yang sedang melakukan ritual keagamaan bukan Islam yang dihadiri ratusan tetamu. – MalaysiaGazette