KUALA LUMPUR – Kegembiraan sekeluarga untuk meraikan kejayaan seorang bapa dalam Majlis Konvokesyen bertukar hiba apabila penerima Sijil Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) itu meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru Selasa lalu.

Allahyarham Mohd Rozahar Mohd Nor, 50, Penolong Kanan Pengeluaran, Jabatan Lukisan
Elektrisola (M) Sdn. Bhd. menyambung pengajian peringkat sijil di bawah Program
Pembelajaran Sepanjang Hayat Kursus Terlanggan PSA.

Anak sulung allahyarham, Alif Alimi Ashraf Mohd Rozahar, 22, hadir sebagai wakil bagi menerima sijil berkenaan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Ts. Muhamad Rumzi Mamat pada Majlis
Konvokesyen PSA Kali ke-24 yang diadakan di Dewan Al Jazari, di sini, hari ini.

Menurut Alif Alimi, bapanya telah lama menyimpan hasrat untuk melanjutkan pelajaran
namun tertangguh akibat faktor kerja dan keluarga.

“Ayah sangat teruja bila dapat sambung belajar dan sangat komited dalam pelajaran. Setiap hujung minggu ayah berulang alik ke PSA dari rumah kami di Janda Baik, Pahang.

“Sepatutnya adik dah kena balik asrama tapi ayah nak dia ada bersama dalam majlis ini. Tapi ayah yang tiada,” ujarnya sebak ketika ditemui bersama adiknya, Alissa Atasha,19, merupakan penuntut Politeknik Port Dickson.

Alif Alimi Ashrafyang merupakan lulusan bidang logistik dan pengangkutan berharap adiknya akan meneruskan impian bapa mereka untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi sementara beliau akan memberi tumpuan untuk mengambil alih tugas ketua keluarga.

Allahyarham Mohd Rozahar telah berkhidmat di Elektrisola (M) Sdn. Bhd. selama 27 tahun
dan meninggalkan seorang isteri dan dua orang cahayamata. – MalaysiaGazette