Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengesahkan bukan hanya televisyen tempatan, Awesome TV digugurkan daripada acara perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023 pada Khamis depan.

Sebaliknya, permohonan pelbagai syarikat sebagai peserta terlampau tinggi dan penganjurannya berdepan kekangan waktu perarakan yang terhad.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, penganjuran kali ini juga perlu mematuhi ruang perarakan yang telah ditetapkan.

“Sebenarnya ada beberapa pihak sama ada telah masuk atau pun meminta untuk masuk tapi tak dapat kami accomodate.

“Grab merayu untuk masuk, trak milo terpaksa kita gugurkan jadi bukan satu pihak sebenarnya banyak pihak yang terpaksa kita kurangkan dan kita gugurkan kerana
melihat kepada tempoh perarakan.

“Kita terhad dari segi jangka masa itu kerana window yang dibenarkan dari segi nombor fly zone atau pun sedikit daripada aeroangkasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya di sini pagi ini

Kelmarin, Awesome TV memaklumkan bahawa KKD menggugurkan syarikat penyiaran itu daripada acara perarakan sempena Hari Kebangsaan 2023 tanpa sebarang alasan.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, keputusan mengejut itu dimaklumkan menerusi surat bertarikh 23 Ogos 2023 yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Muhammad Fauzi Md Isa.

Pihak pengurusan Awesome TV berkata, keputusan ini jelas bertentangan dengan matlamat kerajaan Madani yang berusaha keras mempromosikan semangat perpaduan serta keharmonian di kalangan rakyat Malaysia.

“Ia juga terang-terang berlawanan dengan janji kerajaan Madani untuk memperkasakan peranan media dalam pembangunan dan kesejahteraan negara,” katanya.

Pada Februari lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memanggil pihak pengurusan Awesome TV bagi mendapatkan penjelasan mengenai laporan berita yang mendakwa bilangan penjawat awam bakal dikurangkan.

Fahmi berkata, beliau difahamkan Awesome TV melakukan enam pelanggaran berhubung menerbitkan bahan berita yang dilihat tidak mematuhi peraturan dan undang-undang.

“Awesome TV ini melakukan pelanggaran sebanyak enam kali, termasuk semasa (pentadbiran kerajaan) sebelum ini sebanyak lima kali,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada 20 Februari lalu. – MalaysiaGazette