Dr. Zamry Abdul Kadir bersama rakan sejawat Dr. Fuad Hussein.-Foto Kementerian Luar

KUALA LUMPUR – Malaysia akan membuka semula kedutaan di Iraq selepas hampir dua dekad ditutup.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zamry Abd Kadir berkata, Malaysia telah menyampaikan hasrat tersebut kepada rakan sejawat Dr. Fuad Hussein dalam lawatan rasmi yang berlangsung dari 23 hingga 25 Ogos lalu.

“Saya juga telah menyampaikan keputusan Kabinet Malaysia untuk mengoperasikan semula Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad yang telah ditutup sementara sejak dua dekad yang lalu.

“Pengoperasian semula Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad pastinya akan membuka lebih banyak peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Zamry, lawatan berkenaan adalah bukti kesungguhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan semua negara Islam termasuk Iraq.

Kali terakhir lawatan rasmi peringkat menteri ke negara tersebut adalah pada 2002 iaitu sebelum tercetusnya pergolakan politik di Iraq pada tahun 2003.

Malaysia mengulangi komitmen untuk meluaskan kerjasama dengan Iraq dalam pelbagai sektor terutamanya ekonomi, pendidikan, hubungan udara dan pelancongan.

“Saya juga menyatakan kesediaan Malaysia untuk meneroka semua laluan dan peluang yang ada untuk meningkatkan jumlah perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

“Termasuk meningkatkan eksport perabot, produk farmaseutikal, produk elektrik dan elektronik serta komoditi ke Iraq.

“Dalam bidang pelaburan, kerajaan Iraq telah mengalu-alukan kehadiran syarikatsyarikat dari Malaysia untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur bagi pembangunan semula Iraq,” kata Zamry.

Turut dibincangkan status pengoperasian Petronas di Iraq serta peluang yang lebih meluas dalam sektor tenaga yang boleh diterokai oleh syarikat tersebut.

Malaysia juga mahu meningkatkan kerjasama di dalam bidang pendidikan melalui pertukaran tenaga pengajar, penyelidik dan pelajar dalam pelbagai bidang.

Zamry berkata, Malaysia turut mengalu-alukan hasrat Iraqi Airways memulakan penerbangan berkala ke Kuala Lumpur dengan segera bagi melebarluas jaringan hubungan udara yang lebih praktikal dan efisyen di antara kedua-dua negara.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast