KOTA BHARU – Seorang penggangur yang dipercayai terlibat dalam kes mengumpil tingkap sebuah rumah Kampung Belukar, Tapang, di sini 20 Ogos lepas, meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Rosdi Daud berkata susulan itu pihaknya menahan tuan rumah serta tiga lelaki lain yang berusia antara 30-an hingga 50-an untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, kesemua mereka direman tujuh hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kejadian berlaku pada 3 pagi, semasa tangkapan hendak dibuat, suspek yang berusia 30-an telah bertindak agresif dengan menggunakan senjata sebilah pisau dan telah berlaku pergelutan antara lelaki dengan pengadu (tuan rumah) serta penduduk kampung, namun suspek berjaya ditangkap dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Suspek, yang memiliki dua rekod kesalahan lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah, mengalami kecederaan pada bahagian muka dan kepala serta dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, katanya.
“Namun pihak hospital telah mengesahkan suspek telah meninggal dunia semasa menerima rawatan pada Khamis lalu (24 Ogos),” katanya.
Beliau berkata, saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes ASP Wan Mahani bt Wan Mansor di talian 019-8336423 atau 09-7752200 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Bernama