Gambar hiasan.

BUKIT MERTAJAM – Polis menahan sembilan individu termasuk ibu kandung kepada seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai mati didera dalam kejadian di Ampang Jajar di sini hari ini.

MalaysiaGazette difahamkan, mangsa berusia setahun itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira 4.50 petang semalam oleh seorang lelaki.

Lelaki berkenaan dikatakan meninggalkan kanak-kanak malang tersebut ketika pegawai perubatan sedang memberikan rawatan awal.

Susulan itu, hasil pemeriksaan pihak hospital mendapati kanak-kanak terbabit telah meninggal dunia sebelum memaklumkan kejadian kepada polis.

Difahamkan, bertindak atas maklumat polis Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPDSPT) telah melancarkan operasi mengesan suspek yang terlibat dalam kes terbabit.

Hasil operasi itu membawa kepada tangkapan sembilan individu yang terdiri daripada ibu kepada kanak-kanak berkenaan berusia 20 tahun, kekasihnya yang dipercayai suspek utama, 30-an serta nenek mangsa, 40-an.

Manakala enam lagi suspek yang ditahan adalah kenalan kepada ibu mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San memaklumkan kes berkenaan masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette