KUALA LUMPUR – Sebuah kilang perindustrian melibatkan produk bahan kitar semula musnah dalam satu insiden kebakaran awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kejadian berlaku di kilang yang terletak di Lorong Sultan Mohamad, Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman Klang dekat sini.
Katanya, bilik gerakan operasi negeri telah menerima panggilan kecemasan dari awam yang memaklumkan mengenai kebakaran itu pada jam lebih kurang 1.18 pagi.
“Bertindak atas panggilan itu, seramai 19 anggota bersama jentera pemadam dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, Sungai Pinang, Andalas dan Subang Jaya telah bergegas ke lokasi kebakaran.
“Sejurus tiba di tempat kejadian, siasatan mendapati kebakaran berlaku melibatkan sebuah bangunan setingkat berkeluasan 150x 200 kaki persegi yang merupakan kilang perindustrian bahan kitar semula kelas A,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, anggaran kemusnahan adalah sebanyak 40 peratus di kilang itu sebelum kebakaran berjaya dikawal lebih kurang 1.51 pagi tadi.
“Pemeriksaan lanjut di dalam bangunan kebakaran tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan tiada mangsa kemalangan semasa kebakaran berlaku.
“Bagaimanapun, pada jam lebih kurang 4.15 pagi tadi kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan kerja-kerja overhaul masih sedang dijalankan oleh pasukan bomba di lokasi kejadian demi memastikan kebakaran dipadamkan sepenuhnya,” tegasnya.-MalaysiaGazette