ALOR GAJAH – Bahang sambutan Hari Kemerdekaan Ke- 66 kian dirasai apabila seramai lebih 500 penduduk Taman Bukit Tambun Perdana, Durian Tunggal di sini bergotong royong menghiasi rumah dengan ribuan Jalur Gemilang.
Tidak sekadar itu, mereka menganjurkan pelbagai acara patriotik termasuk Larian Merdeka Dewasa dan Kanak-kanak, pertandingan memasak serta mewarna.
Namun, program yang mencuri tumpuan ialah pertandingan Basikal Hias Jalur Gemilang yang disertai 30 kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun.
Pengerusi persatuan penduduk, Mohamad Hafiz Abd Ghani berkata, persiapan rapi untuk mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan itu telah bermula sejak tiga bulan lalu.
“Tujuannya adalah untuk memupuk semangat perpaduan dan kejiranan yang terdiri daripada pelbagai kaum khususnya Melayu, Cina dan India melalui penganjuran pelbagai program patriotik.
“Sebagai rakyat, kita tidak seharusnya berharap kepada kerajaan semata-mata untuk adakan program sebegini, tapi juga boleh mengadakannya sendiri dalam skala komuniti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Seorang penduduk, Norlela Karim, 39, berkata, program sedemikian perlu kerap diadakan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan penduduk berbilang kaum.
“Bagi saya, setiap taman perumahan sepatutnya jadikan acara sebegini setiap tahun sebagai contoh kepada generasi muda hari ini yang mungkin kurang penghayatan Hari Merdeka,” katanya.
Pandangan sama dilontarkan Muhammad Amirul Fadli Mohd Rashidan, 30 dan S. Keisha Matania, 20 yang melihat program sedemikian dapat menanam semangat patriotik terhadap golongan muda di peringkat kanak-kanak.
Pelajar institusi pengajian tinggi swasta, Tan Chun Sin, 21, berharap sambutan Hari Kebangsaan ke 66 kali ini dapat mengetepikan fahaman politik dan menyambutnya dengan penuh semangat sebagai rakyat Malaysia
“Asas kepada kemerdekaan itu sendiri adalah perpaduan antara kaum yang menjadi nadi penting tanpa perlu kita melihat perbezaan fahaman termasuklah dari sudut politik. – MalaysiaGazette.