Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ruziah Shafei menyampaikan hadiah kepada juara dari pasukan Herobotic Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Bukit Mertajam pada Majlis Penutupan Pertandingan Robot Tempur Malaysia 2023 Pusat Sains Negara, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di The Summit USJ, Subang Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2023.

SUBANG JAYA – Masyarakat perlu menggunakan inovasi secara berhemah dan bermoral ke arah menjadi negara berteknologi tinggi.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Ruziah Shafei berkata, selaras dengan misi negara mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2050, ilmu pengetahuan juga perlu selaras dengan inovasi teknologi masa kini.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan melaksanakan pelbagai usaha berkaitan STI termasuk meningkatkan kualiti dan taraf Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Bagi mencapai hasrat ini, daya tarikan serta kualiti penyampaian dan latihan TVET akan dipertingkat. Oleh itu, Rancangan Malaysia Ke12 (RMK-12) telah menambahbaik sistem pendidikan dan latihan dengan meningkatkan kualiti pendidikan TVET serta memanfaatkan teknologi baru muncul.

“Usaha ini termasuk ketersediaan pekerja teknikal mahir dalam menentukan kejayaan penerimagunaan Industri 4.0 dan memastikan jurang sedia ada dalam ekosistem TVET dikurangkan. Ini adalah masa yang terbaik kepada semua peserta untuk menerokai lebih lanjut bidang teknikal dan merealisasikan impian masing-masing dalam memilih kerjaya kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutupan Pertandingan Robor Tempur Malaysia 2023 yang berlangsung di sebuah pusat beli belah di sini hari ini.

Menurut Ruziah, kerajaan telah mengiktiraf kepakaran TVET sebagai pemangkit utama dalam pembangunan sosioekomomi negara.

“Pengukuhan ekosistem TVET akan membolehkan negara menangani isu yang masih berlarutan seperti kebergantungan tenaga mahir daripada luar negara
dan outcome pelajar tempatan mahir yang rendah.

“Seiring dengan keperluan negara melahirkan tenaga pakar TVET, Pusat Sains Negara sentiasa memastikan pameran dan program adalah relevan untuk menanam minat masyarakat khususnya pelajar daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah menengah dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang merupakan asas utama kepada bidang robotik,” tambahnya.

Sehubungan itu Ruziah menyifatkan Pertandingan Robot Tempur Malaysia yang berlangsung sejak Khamis yang lalu merupakan usaha untuk melengkapkan ekosistem melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam kalangan pelajar dan belia terutama dalam bidang inovasi sains dan teknologi robotik.

Jelas beliau, secara tidak langsung ia menjadi pencetus kepada amalan budaya di kalangan belia untuk berfikir secara kreatif dan kritis dalam menghasilkan produk robotik dengan menggunakannya dengan berhemah.

Terdahulu, pemenang tempat pertama Pertandingan Robot Tempur Malaysia pada kali ini adalah kumpulan Herobotic dari Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Bukit Mertajam.

Bertemakan Pantang Berundur (Never Surrender), cabaran utama pertandingan anjuran Pusat Sains Negara itu peserta perlu menghasilkan robot yang berkeupayaan bertempur satu lawan satu dalam gelanggang yang disediakan.

Sebanyak 32 peserta daripada pelbagai institut pengajian tinggi (IPT), kolej, Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dari seluruh negara.

Sebagai rekod, pertandingan berkenaan telah dianjurkan sebanyak lima kali iaitu pada 2013;2016;2017; 2018 dan 2019 sebelum ditundakan ketika pandemik.

Tujuan utama pertandingan tersebut adalah untuk memperkasakan bidang STI serta memupuk minat generasi muda terhadap STEM melalui pendekatan yang lebih menyeronokkan.-MalaysiaGazette