Wanita tercedera di kapala selepas keretanya terbabas masuk longkang dalam kejadian di Seksyen 18, Shah Alam petang tadi.- Gambar ihsan Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita cedera selepas kereta yang dipandu hilang kawalan dan terbabas di longkang hadapan sebuah bank di Seksyen 18, Shah Alam hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan awam yang memaklumkan mengenai insiden kemalangan itu sekitar 3.41 petang tadi.

Bertindak atas panggilan tersebut, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba di lokasi mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi terbabas di longkang bahu kiri jalan utama.

“Siasatan mendapati kereta yang dipemandu seorang wanita tempatan telah hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke dalam longkang di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah keadaan cuaca semasa kejadian dilaporkan hujan lebat dan jalan basah.

Tambah Ahmad Mukhlis, mangsa berusia 25 tahun telah mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat daripada kejadian kemalangan itu.

“Mangsa telah berjaya dikeluarkan dari kereta terbabas itu oleh anggota bomba di lokasi. Wanita itu kemudian telah diserahkan kepada pihak perubatan untuk rawatan lanjut,” tegasnya.-MalaysiaGazette