KUALA LUMPUR – Penerima Dana Kandungan Digital (DKD) dinasihatkan agar menggunakan peruntukan yang diberikan dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengingatkan, penerima DKD yang terdiri daripada kalangan pengiat seni bahawa dana tersebut menggunakan hasil cukai daripada rakyat.
“Sebagai seorang Ahli Parlimen saya saban tahun juga akan teliti laporan Ketua Audit Negara dan seperti kita semua sedia maklum awal tahun ini telah melapor dan menegur beberapa aspek tentang DKD ini.
“Maka saya harap kita mengambil pengajaran dari apa yang berlaku dulu bukan hanya untuk mengelak daripada ia berulang tetapi merealisasikan potensi yang ada untuk memastikan hasil karya dapat dinikmati oleh rakyat dan di peringkat antarabangsa.
“Maka laksana tugas masing-masing sebaik mungkin. Ada problem datang jumpa saya awal jangan dihujung-hujung supaya kita boleh teliti dan uruskan dengan baik,” nasihat Fahmi.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Dana Kandungan Digital dan Perlancaran Tabung Komuniti Filem di sini hari ini.
Sebanyak 14 syarikat telah ditawarkan Dana Filem Cereka dan 10 syarikat ditawarkan Dana First Time Amature Filmmaker (FAME) yang melibatkan jumlah keseluruhan RM18.3 juta.
Manakala untuk Kumpulan MyCreative Ventures Sdn. Bhd. (MyCV), sebanyak 11 syarikat telah ditawarkan Dana Persembahan Muzik dan 4 syarikat ditawarkan Dana Promosi dan Antarabangsa melibatkan sejumlah RM3.3 juta.
Permohonan DKD telah dibuka dari 6 Mac hingga 5 April lalu menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta 23 Mac hingga 19 Mei bagi MyCV.
Sebanyak 350 permohonan Dana Filem Cereka dan 118 permohonan Dana FAME telah diterima.
Semua permohonan dinilai secara telus dan berintegriti oleh jawatankuasa yang terdiri dari para panel yang professional dan mempunyai kepakaran serta wakil Kementerian.
Fahmi turut mengumumkan penyaluran RM36 juta kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Malaysia Digital Economy Corporation (MDeC) dan MyCV.
Ia bagi pelaksanaan DKD Filem Cereka, Program TV, Dokumentari, Persembahan Muzik, Kebolehpasaran Domestik, Promosi dan Pemasaran Antarabangsa, Insentif Pembangunan Aset Digital (NFT), Program Pembangunan Teknologi Digital, Program Onboarding Metaverse, Program Pengalaman Imersif Harta Intelek dan lain-lain.
“Saya amat mengharapkan komitmen serta fokus yang tinggi supaya projek dapat dilaksanaka mengikut kos, tempoh dan skop ditetapkan.
“Teruskan berinovasi, menginspirasi dan berkongsi dalam memartabatkan industri kreatif negara,” kata Fahmi.
Permohonan DKD secara berperingkat akan dibuka mulai September 2023.
Penggiat industri boleh melayari Portal Rasmi FINAS, MyCV, MDEC serta KKD untuk mendapatkan maklumat lanjut. – MalaysiaGazette