Ibu dan nenek mangsa (gambar bawah) serta kekasih wanita itu antara sembilan suspek yang dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam hari ini bagi mendapatkan perintah reman.

BUKIT MERTAJAM – Sembilan suspek termasuk ibu muda berusia 16 tahun ditahan reman hari ini bagi membantu siasatan kematian budak lelaki yang dipercayai didera di Ampang Jajar, di sini, pada Sabtu lalu.

Perintah reman terhadap empat lelaki dan lima  wanita berusia lingkungan 16 hingga 48 tahun itu dikeluarkan Majistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab.

Muhammad Firdaus membenarkan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini terhadap lelaki yang dipercayai suspek utama berusia 34 tahun dengan seorang wanita, 36, yang tinggal serumah dengannya.

Manakala ibu dan nenek mangsa yang masing-masing berusia 16 dan 40-an serta enam lagi suspek yang juga kenalan ibu muda itu direman selama tiga hari sehingga 30 Ogos ini.

Suspek lelaki berusia 34 tahun (baju kelabu) direman selama tujuh hari.

Perintah reman terhadap semua suspek itu dikeluarkan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, mereka yang ditahan reman terdiri ibu kandung mangsa berusia 16 tahun, kekasihnya, 34, serta nenek mangsa berusia 40an.

Ibu dan nenek mangsa direman selama tiga hari bermula hari ini.

Difahamkan, enam suspek yang masing-masing terdiri daripada tiga wanita dan lelaki itu diberkas di rumah sewa ibu mangsa di Sungai Bakap, Nibong Tebal yang dipercayai menjadi port bagi penagih dadah.

Difahamkan, mangsa berusia setahun itu mengalami kecederaan teruk pada anggota badan dan proses bedah siasat terhadapnya telah selesai dilakukan di Hopsital Seberang Jaya semalam.

ARTIKEL BERKAITAN

Budak setahun mati didera, polis tahan sembilan individu

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San mengesahkan pihak polis menahan sembilan individu bagi membantu siasatan kes kematian budak lelaki berusia setahun.

Dalam kejadian pada Sabtu lalu, mangsa berusia setahun itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira jam 4.50 petang oleh seorang lelaki.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan dikatakan meninggalkan kanak-kanak tersebut ketika pegawai perubatan sedang memberikan rawatan awal kepadanya.

Susulan itu, hasil pemeriksaan pihak hospital mendapati kanak-kanak terbabit telah meninggal dunia sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak polis. – MalaysiaGazette