PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Digital sedang mengusahakan ‘Perkeso Rahmah’ kepada pengiat seni bagi memberikan mereka perlindungan keselamatan sosial.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, untuk itu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan MyCreative Ventures Sdn. Bhd. akan mengadakan perbincangan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Khusus untuk industri kreatif kita ingin melihat keselamatan sosial ini dilanjutkan dengan pakej yang lebih rahmah kerana kita tahu ia melibatkan kos.
“Tapi saya difahamkan jumlahnya tidak terlalu besar tapi manfaat lebih banyak. Jadi ini kita bincangkan,” katanya.
Beliau mengumumkan perkara tersebut dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Dana Kandungan Digital dan Perlancaran Tabung Komuniti Filem di sini hari ini.
Katanya, skim perlindungan itu turut meliputi pengamal media yang melakukan kerja secara bebas atau stringer.
“Kerana kita lihat, kalau kita tahu rakan-rakan dalam bidang perfileman sebagai contoh ataupun kru bagi industri muzik (pendapatan) mereka berdasarkan projek.
“Kebiasaanya ada aspek keselamatan sosial yang perlu diberi perhatian termasuk isu pencen ilat dan khairat kematian. Jadi saya harap perbincangan itu dapat diadakan pada kadar segera,” katanya.
Mengenai Tabung Komuniti Filem, Fahmi berkata, adalah manifestasi komitmen kerajaan melalui FINAS untuk memberi bantuan dari segi kesejahteraan dan kebajikan bagi kepada penggiat dalam industri kreatif terutamanya dalam bidang perfileman.
Tabung itu berperanan untuk menyelaras agihan bantuan, sumbangan dan kutipan derma yang diterima melalui kerjasama daripada badan-badan kerajaan, badan bukan Kerajaan (NGO), persatuan, syarikat swasta dan individu.
Kementerian menurut beliau akan berbincang dengan FINAS dan wakil industri mengenai keperluan tahunan bagi membuat angaran peruntukan yang diperlukan oleh tabung berkenaan.
Tabung itu akan digunakan bagi mengendalikan program komuniti filem, ziarah anak seni dan kempen kesedaran memajukan industri perfileman Malaysia.
Ia juga akan digunakan bagi mengagihkan bantuan, memberi sumbangan, derma kepada komuniti filem yang memerlukan. – MalaysiaGazette