Abdul Aziz Mohd Yusof

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menyantuni dan membantu waris mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, setakat ini bantuan kecemasan sudah disampaikan kepada waris mangsa pemandu Grab iaitu balu Allahyarham Sharipuddin Shaari.

“Bantuan kecemasan sebanyak RM500 sudah kita berikan kepada waris mangsa, Suriana Muda yang merupakan seorang balu dan tidak bekerja oleh LZS pada 21 Ogos lalu.

“Semakan juga mendapati waris perlu menanggung dua orang anak yang masih bersekolah dan ada beberapa cadangan bantuan mahu disampaikan tapi kita tengok pada kelayakkan dahulu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pemberita selepas Program Serahan Bendera Jalur Gemilang dan pelepasan Konvoi Ziarah Merdeka MAIS di Bangunan Sultan Idris Shah, di sini, hari ini.

Tambah Abdul Aziz, antara cadangan bantuan yang ingin disampaikan adalah bantuan kewangan bulanan, bantuan sewa rumah, bantuan makanan bulanan, bantuan persekolahan dan bantuan lain mengikut keperluan keluarga berdasarkan syarat serta kelayakkan.

Pada 17 Ogos lalu, sebuah pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi terhempas di Elmina, Seksyen U16, di sini.

Dalam nahas itu, seramai 10 mangsa termasuk Sharipuddin maut di lokasi kejadian.

Difahamkan, pesawat berkenaan sudah diberi kebenaran untuk mendarat pada jam 2.40 petang namun menghadapi masalah sebelum terhempas. – MalaysiaGazette