Chew Sing Guan (kiri) Alynn Lim Geok Lian menunjukkan prospektus Mercury Securities yang dilancarkan di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR- Mercury Securities Group Berhad, mensasarkan untuk mengumpul RM39.27 juta melalui terbitan 157.09 juta saham pada harga terbitan RM0.25 sesaham sempena tawaran awam permulaan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

Pengarah Urusannya, Chew Sing Guan berkata, pihaknya merancang untuk memanfaatkan penyenaraian ini untuk terus berinovasi, mendigitalkan dan mengembangkan penawaran produk dan perkhidmatan syarikat.

“Dengan rangkaian pelbagai produk dan perkhidmatan kami yang telah kami bangunkan setakat ini, termasuk pembrokeran saham, kewangan korporat, perdagangan proprietari, pembiayaan margin dan khidmat nasihat penyelidikan, penjaga dan perkhidmatan penama.

“Kami memulakan perjalanan yang bukan sekadar pencapaian korporat, tetapi batu loncatan untuk kumpulan kami mencapai lebih tinggi dan lebih mendalam ke dalam pasaran modal,” katanya di sini hari ini.

 

Menurut beliau, perolehan tersebut akan diperuntukkan seperti berikut iaitu RM26.86 juta digunakan untuk perkhidmatan kemudahan pembiayaan margin, RM2.88 juta digunakan untuk menambah baik program pendigitalan dan aktiviti pemasaran untuk perniagaan dan operasi broker saham Kumpulan.

Mercury Securities juga akan memperuntukkan RM4.63 juta untuk modal kerja selain RM4.90 juta untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian.

 

Selaras dengan pelancaran prospektus Mercury Securities, permohonan untuk Terbitan Awam dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 5 September 2023 jam 5.00 petang.

Mercury Securities dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada 19 September 2023.

Selepas penyenaraiannya di Pasaran ACE, Mercury Securities akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM223.25 juta berdasarkan harga terbitan RM0.25 sesaham dan modal saham terbitannya yang diperbesarkan sebanyak 893.00 juta saham.

PIVB ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin Tunggal dan Ejen Penempatan Tunggal untuk kerja-kerja IPO ini.

Sing Guan menambah, Mercury akan menjadi syarikat broker saham pertama yang mencari dan memperoleh penyenaraian IPO di Bursa dalam tempoh 20 tahun lepas.- MalaysiaGazette