Mahkamah Petaling Jaya

PETALING JAYA – Seorang pemandu lori, S. Dorairaj, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki warga India yang mayatnya ditemukan di dalam guni pada awal bulan ini.

Beliau membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Mengikut kertas pertuduhan, pemandu lori itu didakwa bersama-sama tiga lelaki, menyebabkan kematian seorang kerani, A Vinayagamoorthy, 41, di tapak besi buruk, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini pada jam 1.30 tengah hari, 4 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin tidak mencadangkan sebarang ikat jamin kepada tertuduh kerana pertuduhan itu termasuk dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun peguambelanya, Datuk Suraj Singh membantah dengan menyatakan bahawa mahkamah boleh menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan.

“Sekiranya terdapat syarat tambahan, tertuduh bersedia mematuhinya,” kata Suraj Singh.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Faiz membenarkan wang jaminan RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan.

Mahkamah sama turut menetapkan 19 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 16 Ogos lalu, tiga suspek mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama di mahkamah itu.

Mereka ialah peniaga barang lusuh, V Nanta Kumar, 51, dan dua anaknya, Miren Ram, 24, dan Krithik Ram, 22. – MalaysiaGazette