KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia mendapati kenyataan yang telah dikeluarkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ceramahnya di Markas Pas, Bakri, Muar pada Sabtu lalu mempunyai unsur 3R (Agama, Bangsa dan Institusi Diraja).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ini kerana Ahli Parlimen Marang itu telah menyentuh isu mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan yang mempunyai kaitan dengan Institusi Diraja.
“Oleh demikian, rentetan daripada kenyataan Abdul Hadi itu, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kenyataannya dalam ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan Bakri.
“Saya sahkan pihak JSJ sudah menghubungi (Abdul Hadi) untuk proses rakaman percakapan bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily meminta semua pihak tidak membuat spekulasi berhubung kes itu bagi membolehkan siasatan dijalankan tanpa gangguan.
“Siasatan kes ini dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Sekyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Dalam suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor, semua pemimpin-pemimpin parti politik dan orang ramai diingatkan untuk tidak membangkitkan sebarang isu berkaitan 3R,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, terdapat 88 kes membabitkan isu 3R direkodkan sejak awal tahun hingga hari ini.
“Kita berpendidikan tinggi dan sudah cukup matang pemikiran..jadi jangan disebabkan emosi penulisan atau sisipan yang dibuat mempunyai implikasi sehingga membelakangkan undang-undang negara,” katanya. – MalaysiaGazette