Adly Zahari

KUANTAN – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menggalakkan penglibatan lebih ramai anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam bidang keusahawanan dan pertanian.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, kementerian itu mendapat kerjasama dan sokongan yang baik daripada pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan dalam usaha membantu para veteran dalam bidang terbabit.

“Contohnya ada seorang veteran ATM berjaya memasarkan produknya bukan sahaja dalam negara, malah ke luar negara. Dia benar-benar dapat sokongan dan bantuan daripada Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).

“Dan dia juga dibantu agensi kerajaan seperti SIRIM, FAMA, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni veteran ATM dalam Program Peduli Veteran (PPV) yang berakhir di Taman Sri Mahkota Aman, Batu 11, disini hari ini.

Adly Zahari (tengah) menyantuni veteran ATM di Taman Sri Mahkota, di sini hari ini

Turut hadir,  Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Sophian Isswandy Ismail dan Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Pahang, Mejar Khairul Ashinar  Azid @ Aziz.

Dalam program itu, beliau meluangkan masa menyantuni veteran-veteran ATM di sekitar Pekan, Beserah dan Kuantan merangkumi lawatan kebajikan ke atas veteran ATM serta waris tanggungan yang mengalami sakit kritikal dan memerlukan rawatan serta veteran yang mempunyai anak Orang Kelainan Upaya (OKU).

Dalam pada itu, Adly berharap dengan pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini berkenaan Bantuan Sara Hidup (BSH) RM300 sebulan kepada Veteran Tidak Berpencen bermula usia 60 tahun, lebih ramai veteran ATM yang akan berdaftar dengan kementerian itu.

“(Sebanyak) RM3,600 setahun itu berdasarkan kemampuan kewangan (negara) sedia ada dan saya fikir ia permulaan yang baik sebagai sumbangan kita dalam kerajaan Madani ini untuk membantu veteran ATM,”jelasnya.

Beliau memberitahu, hampir 100,000 veteran ATM masih belum berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) di seluruh negara.

Justeru, beliau meminta agar golongan itu segera membuat pendaftaran bagi membolehkan sebarang bentuk kemudahan dan bantuan dapat disalurkan dengan lebih tepat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast