Kim Pan Gon. Foto MOHD ADZLAN, 06 JANUARI 2023.

PETALING JAYA – Skuad Harimau Malaya diminta menggunakan kesempatan mencipta kejutan masing-masing apabila menentang Syria dan China dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 yang akan berlangsung di Chengdu, China, pada 6 dan 9 September ini.

Ketua jurulatihnya, Kim Pan Gon berkata, aksi away (tempat lawan) berdepan dua pasukan di ranking 100 terbaik dunia itu perlu disudahi dengan kemenangan bagi menilai keampuhan skuad kendaliannya menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 yang bermula November ini.

“Beraksi di laman sendiri, kami hanya tewas sekali kepada Bahrain tetapi apabila bermain di tempat lawan, kami tewas kepada Vietnam dan Thailand. Perlawanan di tempat lawan berbeza dari segi keadaan, penyokong dan segala-galanya.

“Kami akan menghadapi Kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia di tempat sendiri dan tempat lawan dan juga perlawanan di tempat lawan adalah sangat penting termasuk semua perlawanan Piala Asia tahun depan di tempat lawan. Ia bagus untuk kami dan akan menggunakan peluang ini untuk mendapatkan pengalaman bermain dengan pasukan lain di tempat lawan,  katanya.

Pan Gon berkata demikian semasa ditemui pada hari pertama sesi latihan rasmi Harimau Malaya di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, di sini hari ini.

Sebelum ini, skuad negara mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) namun kesemua aksi tersebut diadakan dalam negara.

Pada perlawanan itu, Malaysia mengatasi Turkmenistan 1-0 dan Hong Kong 2-0 masing-masing di Johor pada Mac, sebelum menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 dan Papua New Guinea 10-0 masing-masing di Terengganu pada Jun lepas.

Terdahulu, pada sesi latihan pertama tersebut menyaksikan FAM telah memanggil penjaga gol Kuala Lumpur City FC, Azri Ab Ghani yang sebelum ini berada dalam senarai bersedia untuk melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan.

Keputusan memanggil Azri bagi adalah bagi menggantikan tempat penjaga gol Sabah FC, Damien Lim yang tidak dapat menyertai kem latihan pusat kali ini selepas disahkan mengalami kecederaan.

Sementara seorang lagi pemain iaitu pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Nathaniel Shio Hong Wan juga tidak dapat menyertai kem latihan pusat selepas turut disahkan mengalami kecederaan namun tiada sebarang penggantian pemain bagi mengisi tempat pemain itu. – Bernama

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast