KUALA LUMPUR – Penaja yang membawa pelajar tahfiz ke Konsert Kepci Music Fest menyangka tema festival tersebut adalah dibenarkan dan boleh dihadiri oleh semua warga Malaysia.
Andrie Ung Han Xian berkata, ini kerana pesta itu turut dihadiri oleh penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Bunga yang berpenampilan sopan dan bertudung.
Selain itu, beliau turut difahamkan bahawa acara tersebut turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Inisiatif ini adalah sepenuhnya dari pihak saya yang ikhlas untuk memberi peluang kepada anak-anak yatim yang kurang berkemampuan untuk merasai pengalaman menghadiri festival tersebut dan diraikan bersama-sama.
“Tujuan kami adalah ikhlas dan jelas untuk menjemput mereka bersama-sama untuk memeriahkan festival tersebut yang turut menyediakan permainan kanak-kanak iaitu “bouncing castle” dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan.
Andrie berkata, dengan bantuan dan sumbangan dari rakan-rakan telah berjaya mengumpulkan seramai 700 orang anak yatim dari 22 buah rumah anak yatim seluruh negara untuk hadir ke festival berkenaan.
Beliau juga menjelaskan, kanak-kanak yang ditularkan memakai jubah hijau dan berserban putih adalah dari Madrasah Watahfiz al-Quran Rohingya TTDI Jaya.
“Mereka ini adalah dari anak-anak pelarian Rohingya beragama Islam dan hampir tidak tahu untuk berkomunikasi di dalam bahasa Melayu.
“Tujuan kami hanya ingin menghiburkan mereka kerana di dalam Islam sendiri tidak membezakan sempadan dan status pendatang haram mereka.
“Kami juga mohon agar pihak berwajib dan mereka yang lebih Islam supaya lebih cakna akan kebajikan anak-anak ini daripada hanya tahu bercakap,” tegasnya.
Beliau turut menjelaskan, pihak KFC dan Kerajaan tidak terlibat dengan kehadiran pelajar tahfiz pada hari tersebut.
Pihak terbabit juga tidak diberi sebarang makluman mengenai perkara tersebut.
“Sekali lagi ingin saya tegaskan, kami adalah ikhlas dalam mengajak anak-anak yatim tersebut menghadiri festival tersebut kerana kita perlu cakna akan semua tanpa mengira agama, bangsa atau keturunan.
“Namun demikian, pihak kami juga turut berdukacita di atas ketidakpuasan hati dan perasaan tersinggung dari pihak-pihak tertentu yang terkesan dengan isu yang tertular ini,” katanya.
Kenyataan itu susulan tular di media sosial rakaman video menunjukkan kehadiran pelajar tahfiz menonton konsert di festival hiburan itu.
Video berkenaan menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.-MalaysiaGazette