Sesi raptai sempena Hari Kebangsaan 2023 di Melaka, 31 Ogos ini menyaksikan hampir 10,000 peserta daripada pelbagai agensi terlibat pada acara perbarisan dan perarakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir.

MELAKA – Hampir 10,000 peserta daripada pelbagai agensi akan mengambil bahagian pada acara perbarisan dan perarakan sempena Hari Kebangsaan 2023 di Melaka, 31 Ogos ini.

Ia sekaligus menjadikan penyertaan terbesar selepas pandemik Covid-19 yang akan berlangsung di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir sambil disaksikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Melaka Shahrom Ravin Daram Abdullah berkata, persembahan melibatkan melibatkan seramai 9,884 peserta antaranya seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Turut terlibat agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta pelajar sekolah seramai 8,004 peserta daripada 179 kontinjen dan 593 aset yang mengambil bahagian.

“Selain itu, buat julung-julung pertama kalinya juga sebanyak 12 bot Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) bersama 300 peserta akan turut berarak di sepanjang Sungai Melaka bermula dari Taman Rempah hingga ke Muara Sungai Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2023, di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, di sini hari ini.

Shahrom Ravin menambahnya, turut dijangka mencuri tumpuan pengunjung sambutan yang bermula pukul 7.30 pagi adalah pertunjukan aset darat dan udara daripada ATM dan JBPM.

“Sebab itu kita boleh katakan sambutan Hari Kebangsaan di Melaka Khamis ini adalah yang terbesar pasca pandemik Covid-19 kerana tahun lepas tiada sebarang sambutan dibuat.

“Kita jangkakan, seramai 20,000 pengunjung akan membanjiri Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dan sekitar Banda Hilir untuk melihat lebih dekat pertunjukan penuh gilang gemilang ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast