Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying

PULAU PINANG – Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, beliau akan menjadi orang pertama yang membantah jika kementeriannya menyebarkan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi kepada pelajar bukan Islam.

Beliau berkata, modul itu hanya melibatkan guru dan murid beragama Islam dan sesekali tidak akan menjejaskan pelajar agama lain.

Katanya, modul penghayatan itu bagaimanapun perlu dilaksanakan di sekolah vernakular kerana terdapat pelajar beragama Islam di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

“Ini merupakan satu isu yang jelas dan tidak perlu merumitkannya” katanya seperti dipetik Sinchew Daily selepas menghadiri majlis penghargaan untuk pasukan kempen DAP Komtar dan Pangkalan Kota di Pulau Pinang.

Dalam program berlainan, Hui Ying dipetik Kwong Wah Yit Poh meminta orang ramai bertenang supaya isu itu tidak dimanipulasi sehingga mengganggu emosi.

Katanya, ia juga bertujuan mengelakkan isu itu diperbesarkan sehingga menjadi punca percanggahan antara agama.

Katanya, Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi hanya akan dilaksanakan dalam Pendidikan Islam sedangkan pelajar bukan Islam akan mengikuti Pendidikan Moral.

“Dasar pemisahan Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral telah dilaksanakan lama dan semuanya berjalan tanpa apa-apa isu.

“Tidak pernah berlaku pelajar bukan Islam dipaksa untuk mengikuti Pendidikan Islam,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta masyarakat bukan Islam memahami kepentingan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah seluruh negara.

Anwar berkata, pelaksanaan modul itu berkait secara langsung dengan kestabilan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau pula menyokong usaha mengajar Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi selagi ia hanya diperkenalkan di peringkat sekolah agama Islam dan tidak sesekali diperluaskan kepada pelajar bukan Islam. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Harap Raja Petra boleh bongkarkan siapa pihak yg beroleh untung dlm isu pengajaran Hadis 40 ni. Siapa yg dapat tender cetak modul tambahan ni. Adakah isu pengajaran ni saja ditimbulkan utk tutup isu lantikan pencetak dari kalangan kroni mana mana parti dimana cetakan modul tambahan ini yg kosnya bukan sikit.

Comments are closed.