KUALA LUMPUR – Segala tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berpandukan peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) yang membolehkan badan itu menjalankan fungsinya.
SKMM berkata, salah satu tanggungjawab perundangan utama adalah memastikan platform dalam talian tidak diguna untuk sebarang pelakuan atau percubaan melakukan pelanggaran di bawah undang-undang bertulis.
Ini termasuklah tindakan menyebarkan berita palsu, kandungan yang jelik dan berunsur fitnah.
Katanya, sejak kebelakangan ini terdapat peningkatan yang membimbangkan dalam penerbitan berita yang kurang bertanggungjawab, kurang peka dan kurang tepat.
“Terdapat organisasi media yang telah menerbitkan kandungan yang tidak tepat danĀ mengelirukan.
“Beberapa organisasi media didapati tidak bertanggungjawab menyebarkan berita yang mengelirukan atau dengan sengaja menyiarkan kandungan kurang tepat.
“Apabila tumpuan diberi kepada kandungan media yang dijana sendiri pengguna menarik perhatian, etika kewartawanan kini seolah-olah dipandang enteng dan adalah amat mencabar untuk membezakan kandungan yang berlandaskan fakta atau sebaliknya,” katanya.
SKMM berkata, senario tersebut memberi ancaman kepada keharmonian masyarakat memandangkan maklumat yang mengelirukan disebar dengan mudah dan menimbulkan naratif yang kurang tepat.
Suruhanjaya itu juga telah mengambil inisiatif untuk mengadakan beberapa sesi dialog dan mesyuarat bersama organisasi media bagi membincangkan isu berbangkit.
Bagi memerangi isu ini, MCMC kekal berpendirian teguh dalam melaksanakan tugas dan fungsi penguatkuasaannya bagi menjaga integriti maklumat dan keharmonian masyaraka
SKMM menjawab kenyataan yang dikeluarkan oleh lapan tokoh media yang menggesa suruhanjaya tersebut tidak bertindak bagaikan ‘Abang Besar’ mengawal media.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaafar dan Datuk A. Kadir Jasin, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya.
Turut bersama pemilik Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd Datuk Hussamuddin Yaacob, bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang.
Juga melahirkan kebimbangan bekas Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong dan Datuk Zakaria A. Wahab dan bekas wartawan terkemuka yang kini pemerhati politik Dr G Manimaran.
Mereka melahirkan kerisauan, kebanyakan kandungan yang dilabelkan sebagai ‘menyinggung’ adalah laporan dan pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan.
Media yang telah diambil tindakan antaranya Awesome TV, TV Utusan dan TV Pertiwi.
Selain itu pengurusan Berita Harian juga pernah dipanggil kerana didakwa membuat hantaran bersifat fitnah di media sosial selain kontroversi yang melibatkan TV Alhijrah baru-baru ini. – MalaysiaGazette
Lapan tokoh desak SKMM berhenti jadi ‘Abang Besar’ kawal media