KUALA LUMPUR – UOB Malaysia melancarkan U-Drive, penyelesaian pembiayaan komprehensif untuk ekosistem kenderaan elektrik (EV) di negara ini.

Penyelesaian ini dengan mudahnya akan menghubungkan rantaian nilai EV yang termasuk pembekal komponen automotif, pemilik jenama automotif, peniaga, pengendali tempat
pengecasan sehingga pengguna akhir.

U-Drive dirancang untuk memenuhi keperluan kewangan semua pemain ekosistem EV dengan menyediakan rangkaian komprehensif dalam penyelesaian pembiayaan mampan.

Sebagai contoh, pemilik jenama automotif yang berkembang ke pasaran baharu, peniaga kereta yang merancang untuk mengembangkan inventori EV mereka, dan pengendali tempat pengecasan yang
memperoleh dan memasang infrastruktur pengecasan boleh memanfaatkan kemudahan hijau UOB untuk keperluan modal kerja mereka.

Di samping itu, perniagaan, termasuk pemilik armada kenderaan, dan juga individu, boleh mengakses pembiayaan hijau untuk membeli EV dan peralatan pengecasan.

Selain pembiayaan, UOB juga dapat membantu pengeluar peralatan asli (OEM) EV yang ingin berkembang ke negara ini dengan menyediakan maklumat pasaran serta khidmat nasihat tentang pelaburan langsung asing.

Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, hala tuju Malaysia ke arah pencapaian sifar bersih akan memerlukan dekarbonisasi dalam sistem pengangkutan selain
membentuk semula keseluruhan rantaian nilai untuk menjadi hijau dan mampan.

“UOB bangga untuk memperkenalkan U-Drive ke pasaran dalam menyokong usaha pembangunan industri EV di Malaysia. Dengan memudahkan akses pemain ekosistem EV kepada pembiayaan dan
menghubungkan mereka yang memerlukan modal, kami menyasar untuk memperkasakan pertumbuhan industri sambil menggalakkan peralihan kepada EV,” katanya.

U-Drive dipelopori oleh UOB Malaysia bersama dengan beberapa pemain EV utama di dalam negara termasuk Great Wall Motor (Malaysia),  Sime Darby Motors, Perak Transit, penyedia perkhidmatan pengangkutan awam bersepadu, serta chargEV oleh Yinson GreenTech dan PowerBee, cabang e-mobiliti oleh Solarvest, yang merupakan peneraju dalam rangkaian infrastruktur pengecasan.

“Kami amat yakin Malaysia berupaya menjadi pasaran EV yang teguh memandangkan landskap mobiliti yang terpelbagai, tumpuan kepada kemampanan, dan peneraju
yang terbukti sebagai hab pembuatan elektrik dan elektronik (E&E) di Asia Tenggara sepanjang 50 tahun yang lepas.

“Walaupun industri EV tempatan telah mencapai kemajuan baik dalam beberapa tahun kebelakangan ini, masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk merealisasikan potensi
penuhnya,” ujarnya, – MalaysiaGazette