Gambar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang beserta logo UMNO kelihatan pada Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO bincang PRN Melaka di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 14 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi menolak permohonan tiga individu yang dipercayai ahli Barisan Nasional (BN) yang mencabar kelulusan menteri dalam negeri berhubung usul tambahan UMNO tidak mempertandingkan dua jawatan utama dalam pemilihan parti itu Januari lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh memutuskan untuk menolak permohonan ini atas alasan mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat perkara melibatkan parti-parti politik yang termaktub dalam Seksyen 18C Akta Pertubuhan.

Kata Amarjeet juga menegaskan bahawa ini dibuktikan oleh preseden undang-undang Mahkamah Rayuan yang menguatkan lagi perkara ini.

Tidak ada sebarang kos diperintahkan untuk dibayar oleh Amarjeet.

Sebelum ini, Ahli UMNO Cawangan Kampung Bukit C2 Lembah Pantai, Satarriah Abdul Karim dan Zaidi Abdul Majid serta ahli MIC Lembah Pantai, P Vellasamy, memfailkan permohonan itu pada 15 Mei lalu menerusi Tetuan Rohaina & Co.

Dalam permohonan kebenaran itu, mereka menamakan Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Kerajaan Malaysia; Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan UMNO selaku responden.

Mereka memohon kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah certiorari untuk membatalkan kelulusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Mac lalu yang mengecualikan UMNO daripada mematuhi Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 menurut peruntukan Seksyen 70 akta sama.

Semua pemohon juga memohon perisytiharan bahawa surat RoS bertarikh 3 Mac lalu yang mendapati bahawa usul tambahan UMNO yang diputuskan di Perhimpunan Agung 2022 adalah tidak teratur, bertentangan perlembagaan parti dan tidak sah.

Turut dipohon satu perisytiharan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO hendaklah dipertandingkan dalam masa 30 hari dari tarikh penghakiman.

Pemohon berkata, pada 30 Januari lalu, suatu usul tambahan UMNO dicadangkan ketika Perhimpunan Agung UMNO 2022 pada 11 hingga 14 Januari lalu, berhubung ketiadaan pertandingan untuk dua jawatan utama pada Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO bagi penggal 2023-2026.

Menurut mereka, pada 2 Mac lalu, RoS mengeluarkan surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung UMNO bertajuk Pengesahan Berhubung Usul Tambahan Ucapan Dasar Presiden Di Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang ditandatangani Ketua Pengarah RoS.

Kata mereka, dalam surat itu RoS mendapati usul tambahan UMNO yang diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO 2022 adalah tidak teratur dan bertentangan dengan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO, oleh itu ia adalah tidak sah.

Oleh, tambah mereka, sewajarnya RoS mewajibkan UMNO untuk mengambil tindakan pembetulan untuk mematuhi Fasal 9.3 perlembagaan parti itu. -MalaysiaGazette