Salah seorang banduan Penjara Penor di Kuantan kusyuk membaca Al-Quran sempena sesi Quran Hour hari ini

KUANTAN – Seramai 80 banduan Penjara Penor menghayati tempoh sejam Quran Hour di surau penjara itu yang dijalankan secara serentak di seluruh negara hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati sesi bacaan kitab suci al Quran mengalunkan tiga surah iaitu al-fatihah, al- asr dan al-insan dengan dimulakan oleh Qari Ustaz Muhammad Izzan Idris yang juga Imam Masjid Negeri.

Manakala sesi taddabur Quran bersama Pensyarah Universiti Malaysia Pahang Sultan Ahmad Shah (UMPSA), Prof Madya Dr. Mahyuddin Ismail.

Dalam sesi tersebut, beliau menasihatkan penghuni penjara itu agar memanfaatkan setiap masa di dalam tirai besi agar menjadi insan yang berguna kepada masyarakat selepas selesai menjalani hukuman nanti.

Para peserta membaca surah Al–Fatihah, Surah Al-Insan dan Surah Al-Asr bagi program Quran Hour hari ini

”Malaysia #QuranHour menekankan tiga surah tentang pembukaan (al-fatihah), manusia (surah al-insan) dan masa (surah al-asr) yang boleh dihayati oleh penghuni di sini agar dimanfaatkan, bahawa setiap dosa yang dilakukan mendapat pengampunan daripada Allah SWT

”Mereka yang di dalam penjara sudahpun menerima hukuman dunia, kemudian belajar bagaiman untuk ’mengisankan’ manusia untuk sampai ke syurga nanti,” katanya.

Penghuni Penjara Penor menyahut seruan program Quran Hour yang dijalankan serentak di seluruh negara

Penghayatan ketiga-tiga surah tersebut diharap dapat dijadikan bimbingan untuk melahirkan pemuda-pemuda berkemahiran dalam membina pembangunan negara sekali gus melahirkan pemimpin untuk masa hadapan.

Program ini dianjurkan anjuran bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Pertubuhan Rumah Ngaji Pahang dengan bertemakan ‘Malaysia Berakhlak Mulia, Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar’ yang  membawa maksud pemuda sebagai tonggak dan aset dalam pembinaan negara dengan mengambil semangat Hari Kebangsaan ke-66.

Hadir sama Timbalan Pengarah Penjara Pahang, Raja Mohd Amozon Raja Daud dan Pengarah Penjara Penor, Fayrouz Ahmad Zawawi. – MalaysiaGazette