KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan kerjasama Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) bakal menganjurkan Ekspo Buku Petaling Jaya atau dikenali sebagai PJBX pada 9 hingga 17 September 2023.
Ekspo ini akan bermula jam 9 pagi hingga 6 petang, bertempat di Dewan Sivik MPPJ.
PJBX kali ini yang mendapat sokongan dan kerjasama dari Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Utama (PPDPU) akan turut mengisi slot aktiviti sepanjang program ini berlangsung antaranya Pertandingan Amalan Terbaik STEM, Pertandingan Nyanyian Berirama, Pertandingan Nyanyian Solo -pra sekolah dan lain-lain.
Manakala bagi kanak-kanak yang kurang upaya juga disediakan slot untuk disertai oleh golongan ini antaranya Pertandingan Mewarna dan Inclusive Talk.
Rakan-rakan strategik Learning City yang terdiri dari institusi pengajian awam dan swasta juga turut menjayakan slot aktiviti antaranya kempen keselamatan jalan raya oleh MITRANS UiTM, Becoming An Engineer: Pathways & Tips oleh First City University, pemeriksaan gigi secara percuma oleh Lincoln University, The Importance of Early Childhood Education oleh Saito University College dan lain-lain.
Selain itu, pelajar-pelajar yang bakal menduduki SPM turut berpeluang untuk mengikuti Seminar Perdana SPM yang akan mengupas soalan-soalan tahun lalu dan juga perkongsian tips menjawab soalan khususnya bagi mata pelajaran teras.
Pada kali ini sebanyak 30 penerbit buku yang akan turut serta dan menawarkan harga yang menarik antaranya Karangkraf, PTS, Pelangi, IBDE Ilham dan banyak lagi. – MalaysiaGazette