Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada Majlis Minggu Negarawan yang bertajuk Peradaban & Sosiologi di Bilik Auditorium Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto QURRATU AINI, 30 OGOS 2023.

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendirian bahawa larangan menyentuh isu berkenaan 3R (agama, raja, kaum) adalah tidak sah.

Ini kerana larangan tersebut tidak digubal menjadi sebuah undang-undang yang dilulus dan diwartakan di Parlimen.

“Saya tidak faham kenapa saya disoal kerana arahan tidak boleh guna 3R tidak sah. Kalau nak buat undang-undang bukan PM, dia perlu pergi ke Parlimen.

“Kalau Parlimen lulus dan diwartakan sebagai undang-undang barulah undang-undang itu berkuasa tapi Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) buat keputusan tanpa rujukan kepada sesiapa dan ia kononnya dijadikan undang-undang sehingga polis bertanya kepada saya macam-macam,” katanya ketika ditemui selepas program Munggu Negarawan Peradaban dan Sosiologi.

Beliau berkata demikian mengulas tentang tindakan polis merekod keterangannya semalam.

Tambahnya, larangan berkenaan merupakan satu bentuk tekanan daripada kerajaan melalui pihak polis.

“Siapa sahaja bercakap pasal bangsa, agama dan raja-raja akan disoal oleh polis, ini adalah satu cara penekanan. Sebab semua orang takut kalau polis datang. Kerajaan guna polis mengugut rakyat supaya jangan bercakap berkenaan perkara yang kerajaan tidak boleh jawab,” tambah beliau.

Mengulas lanjut, Mahathir bekrata, beliau telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis sewaktu dipanggil memberikan keterangan.

Malah, beliau memaklumkan kepada polis bahawa sudah bersedia didakwa ke mahkamah.

“Saya disoal dan biasanya saya minta didakwa ke mahkamah dan saya akan jawab soalan. Yang soalan mereka saya tidak jawab.

“Saya beritahu polis saya suka dibicara di mahkamah, boleh saya beritahu kepada seluruh rakyat kesilapan yang dilakukan kerajaan,” tambah beliau.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan telah merekodkan keterangan Mahathir berkaitan kenyataannya yang didakwa berunsurkan penghinaan terhadap institusi diraja dalam program Sidang Meja Bulat Proklamasi Orang Melayu baru-baru ini.- MalaysiaGazette