Fadhlina Sidek ketika mengadakan pertemuan dengan 16 NGO semalam.

KUALA LUMPUR – Penghayatan Modul Hadis 40 Imam Nawawi yang akan diperkenalkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) penting serta signifikan untuk menangani gejala radikalisme dan ekstremisme dalam masyarakat.

Pejabat Menteri Pendidikan berkata, kementerian itu komited untuk melaksanakan inisiatif penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi kerana ia akan memberi impak positif serta gambaran sebenar mengenai nilai-nilai kesejagatan Islam serta pengamalannya dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Dalam kenyataannya hari ini, Pejabat Menteri Pendidikan itu sekali lagi menegaskan inisiatif penghayatan Modul Hadis 40 Imam Nawawi hanya melibatkan guru dan
murid beragama Islam sahaja.

Projek rintis itu melibatkan guru dan murid beragama Islam di SMKA dan SABK serta dikembangkan ke sekolah-sekolah dan kelas daripada mata pelajaran Pendidikan Islam
sahaja.

Pelaksanaan inisiatif penghayatan Modul Hadis 40 Imam Nawawi juga tidak akan melibatkan murid bukan Islam.

Tambahnya, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah menganjurkan pertemuan dengan 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pelbagai latar belakang masyarakat semalam, antara lain membincangkan inisiatif Penghayatan Modul Hadis 40 Imam Nawawi, pelaksanaannya dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan pendidikan negara.

Mereka ialah Angkatan Belia Islam Malaysia, Pertubuhan IKRAM Malaysia, Federation of Taoist Associations Malaysia, . Christian Federation of Malaysia, Malaysian Buddhist Association, . Malaysia Hindu Sangam, Malaysian Gurdwaras Council dan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia.

Turut serta, Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Tamil Foundation (TMF), Persatuan Aliran Kesedaran Negara, Allied Coordinating Committee of Islamic NGO, Friendship Group for Inter-religious Service, Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia, Centre for Malaysian Chinese Studies, LLG Cultural Development Centre dan Professor Dr. Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi.

Pertemuan berlangsung dalam suasana muhibah, mencerminkan keterbukaan, kesepakatan dan komitmen semua pihak dalam membina Malaysia Madani berdasarkan kepada formula kepelbagaian dalam
bingkai kesatuan.

Tambahnya, sesi pertemuan seperti ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi menyampaikan maklumat tepat mengenai inisiatif-inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ruang dialog juga dibuka seluasnya selaras dengan salah satu teras utama KPM iaitu untuk memperkasa komunikasi antara kementerian dengan setiap pemegang taruh. – MalaysiaGazette