Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Program Kepci Music Fest yang tular kerana menjemput pelajar-pelajar tahfiz baru-baru ini bukan anjuran kerajaan.

Sebaliknya, ia dianjurkan oleh syarikat korporat sempena sambutan 50 tahun KFC.

Menteri di Jabatan Perdana menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang membuat penjelasan berhubung perkara itu berkata, jabatan itu sudah menghubungi pihak penganjur untuk meminta penjelasan berkenaan isu tersebut.

“Makluman daripada penganjur ialah jemputan pelajar-pelajar ke program karnival dan konsert berkenaan telah dibuat oleh pihak ketiga yang menaja golongan kurang bernasib baik termasuklah anak-anak tahfiz dari sebuah madrasah masyarakat Rohingya di Shah Alam,” katanya menerusi video di Facebook.

Semalam, seorang individu tampil memberi penjelasan mengenai tindakannya membawa kumpulan pelajar tahfiz ke konsert Kepci Music Fest di Stadium Malawati, Shah Alam.

Andrie Ung Han Xiang yang mengakui dia adalah individu membawa pelajar terbabit ke festival itu berkata, pihak penganjur termasuk kerajaan tidak terbabit dengan kehadiran mereka.

Menurutnya, dia bersama rakan berjaya mengumpul sumbangan bagi membawa kira-kira 700 anak yatim dari 22 rumah kebajikan seluruh negara ke festival itu untuk merasai pengalaman.

Mohd Na’im berkata, walaupun program hiburan dibenarkan namun penganjur perlu cermat dan berhati-hati dalam menjaga sensitiviti agama, adab dan adat ketimuran.

“Dalam kita berhibur, pastikan kita mengambil perhatian kesesuaian dan pengisian program apatah lagi audiensnya melibatkan anak-anal tahfiz dan anak-anak muda.

“Jadikan ia sebagai iktibar kepada semua memastikan mengikut garis panduan yang telah disediakan,” tambahnya.

Beliau turut meminta pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam untuk memanggil pihak berkenaan untuk tindakan sewajarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.