TOKYO – Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida bersama-sama beberapa menteri menikmati ikan sashimi yang “sangat lazat” dari perairan Fukushima.
Aksi itu disiarkan menerusi video yang dikeluarkan oleh Kerajaan Jepun selepas berlaku pertikaian mengenai tindakan Tokyo melepaskan air sisa radioaktif terawat dari Loji Nuklear Fukushima.
Makan tengah hari itu bertujuan untuk menghilangkan kebimbangan mengenai kemungkinan kesan negatif air yang dibuang ke atas kesihatan manusia dan menjejaskan produk perikanan dari kawasan sekitar wilayah timur laut Jepun itu.
Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Yasutoshi Nishimura, yang bertanggungjawab ke atas dasar nuklear, berkata, Kishida makan sashimi yang terdiri daripada ikan siakap, ikan sebelah dan sotong dari perairan Fukushima.
“Kami “perlu memaklumkan orang ramai di dalam dan di luar negara” tentang keselamatan makanan laut yang ditangkap di laut berhampiran kompleks nuklear Fukushima, kata Nishimura kepada media.
Jepun telah melepaskan air radioaktif yang dirawat dari Loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik pada 24 Ogos lalu biarpun rancangan itu mendapat kritikan hebat dan sekatan import makanan laut oleh China, Korea Utara serta Hong Kong.
Kumpulan nelayan Jepun sendiri mengakui mereka bimbang pelepasan air itu akan mendorong kepada kemusnahan reputasi sektor makanan laut negara itu.
Namun Jepun kekal dengan pendirian menyifatkan tindakan melepaskan air adalah selamat.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Julai lalu menyatakan ia mematuhi piawaian antarabangsa, selain menjelaskan kesannya terhadap manusia dan alam sekitar adalah ‘sedikit’.
Tetapi China, pembeli utama ikan Jepun, mengumumkan akan menghentikan sepenuhnya produk makanan lautnya kerana kebimbangan terhadap kesihatan pengguna. – Agensi