KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham Malaysia 2 – Wawasan (ASM 2 Wawasan) sebanyak 4.50 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2023.

ASM 2 Wawasan mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM1.04 bilion, yang akan memanfaatkan 914,008 pemegang unit.

Agihan pendapatan ASM 2 Wawasan adalah bersamaan dengan jumlah pulangan sebanyak 4.50%, mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 Bulan Maybank yang berada pada paras 2.89% sebanyak 161 mata asas bagi tahun kewangan sehingga 29 Ogos 2023.

Sehingga 29 Ogos 2023, dana tersebut memperoleh jumlah pendapatan kasar sebanyak RM1.08 bilion dan mencatatkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM810.23 juta.

Pendapatan untuk ASM 2 Wawasan diperoleh daripada keuntungan modal, pendapatan dividen serta pendapatan-pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.

Pendapatan daripada ekuiti kekal sebagai penyumbang utama dengan pelaburan antarabangsa dan domestik masing-masing menyumbang 29.2% dan 55.7% kepada pendapatan kasar dana.

Dana tersebut juga telah mendapat manfaat daripada kepelbagaian portfolio dalam kelas aset lain, terutamanya hartanah dan ekuiti persendirian yang mewakili 10% daripada jumlah NAB.

Pengiraan agihan pendapatan ASM 2 Wawasan berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi dana tersebut.

Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM 2 Wawasan akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 September 2023.

Urus niaga ASM 2 Wawasan di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua platfom digital dan perbankan internet telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 29 hingga 31 Ogos 2023.

Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di portal myASNB (www.myasnb.com.my), melalui aplikasi mudah alih myASNB atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 1 September 2023. – MalaysiaGazette