MELAKA – Seorang remaja lelaki maut ketika dalam perjalanan pulang selepas melihat pertunjukan bunga api sempena sambutan Ambang Merdeka di Jalan Persisiran Pantai, Klebang di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 pagi itu, mangsa, penunggang motosikal, Muhammad Thaqif Mohd. Firdaus, 16, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z telah terbabas sendiri di lokasi nahas.
“Waktu kejadian, mangsa datang dari bandar menghala ke Pantai Puteri dan sebaik tiba di lokasi motosikalnya hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri.
“Akibatnya, mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.
Difahamkan mangsa sebelum itu keluar melihat pertunjukan bunga api sempena sambutan ambang Hari Kemerdekaan Ke-66 bersama rakan-rakannya.
Mengulas lanjut Christopher berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette.