Peserta menjalani Latihan Kecemasan Banjir bersama APM, Kota Belud

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), terus menggiatkan aktiviti memberikan
pendidikan awam berkaitan bencana alam kepada masyarakat setempat di Sabah.

Terbaru, NDRC telah mengadakan siri Program Pendidikan Awam Bencana Alam di Kampung Melangkap Baru, Kota Belud baru-baru ini.

Menurut Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus, program tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat di kawasan terpilih untuk
sentiasa berwaspada terhadap bencana alam.

“Sepanjang program ini, kami telah menjemput penceramah-penceramah profesional dari luar dan dalam UMS untuk memberikan perkongsian kepada yang hadir.

“Antara topik ceramah yang dibincangkan ialah mengenai pengurangan risiko bencana alam, cuaca ekstrim, banjir dan aliran Puing, tanah runtuh, gempa Bumi dan ceramah Pengurusan Bencana Negara,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, program yang dianjurkan telah melibatkan penduduk setempat termasuk murid sekolah, belia dan pengusaha inap desa.

“Untuk itu, kami juga mengetengahkan aktiviti seperti latihan kecemasan banjir , latihan kecemasan kebakaran dan pameran poster bencana alam sebagai persediaan menghadapi
bencana di samping menambah pengetahuan berkaitan risiko bencana alam,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor menyokong usaha penganjuran ceramah sedemikian yang dilihat dapat memberi pendedahan dan pendidikan kepada orang awam tentang bencana alam seperti gempa bumi, banjir dan aliran puing, tanah runtuh dan kemarau khasnya di daerah Kota Belud, Sabah.

“Program ini penting untuk meningkatkan lagi aspek kefahaman dan kesedaran masyarakat terhadap pelbagai kejadian bencana alam yang sering melanda negara ini khususnya di Sabah.

“Adalah menjadi harapan pihak UMS agar kekerapan penganjuran program sebegini dapat memperkasakan lagi bidang penyelidikan bagi membantu masyarakat khususnya di Sabah untuk mendepani masalah bencana alam yang berlaku,” ujar Kasim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast