KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong bertitah perpaduan antara berbilang bangsa dan kaum adalah kunci utama kepada keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Malah, keutuhan perpaduan ini adalah juga kunci utama kepada kestabilan dan kemakmuran negara serta benih dan sumber kekuatan bagi kita menghadapi apa jua cabaran semasa dan mendatang.

Dalam hantaran di Facebook Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri menzahir ucapan selamat menyambut Hari Kebangsaan 2023 kepada seluruh rakyat Malaysia di negara ini mahupun yang berada di luar negara.

Malah baginda berdua merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana rakyat Malaysia bersama meraikan ulang tahun hari bersejarah ini, pada usia kemerdekaan negara menginjak ke-66 tahun dalam suasana harmoni serta aman dan damai.

Dalam kenyataan itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah menyeru rakyat supaya mengimbau kembali lebih enam dekad yang lalu di mana semangat kenegaraan dan cintakan tanah air telah menyatupadukan rakyat dengan tekad dan iltizam sehingga kemerdekaan yang diidamkan menjadi realiti.

Sehubungan itu, baginda mahu rakyat menghargai dan menghayati jasa para pemimpin, pejuang dan patriot kemerdekaan negara memupuk perpaduan rakyat serta anggota pasukan keselamatan mempertahankan kedaulatan negara.

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab bersama para pemimpin dan rakyat dalam bukan sahaja memelihara dan mengukuhkan lagi keharmonian serta perpaduan yang dikecapi selama ini, malah menyemarakkannya lagi sesama kita,” titah baginda menerusi Facebook Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri juga mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan agar Malaysia terus dilimpahi kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan yang berkekalan serta dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast