Keadaan MPV yang dinaiki mangsa selepas terlibat dalam kemalangan.

LANGKAWI – Selepas bertarung nyawa lebih 24 jam, dua remaja lelaki yang parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Lebuhraya Langkawi di sini, meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mangsa, Muhammad Fizz Razwail Zainuddin disahkan meninggal dunia pada jam 10.53 malam tadi, manakala Muhammad Haikal Hakim Che Isa jam 8.59 pagi tadi.

Jelas beliau, mereka yang masing-masing berusia 18 tahun itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Maliha di sini.

“Hasil bedah siasat mendapati, kedua-dua remaja meninggal dunia akibat kecederaan parah dan kegagalan pelbagai organ.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Media semalam melaporkan empat remaja terbabit dalam kemalangan apabila MPV dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar lampu jalan di selekoh Lebuhraya Langkawi kira-kira jam 7.40 malam pada Rabu lalu. – MalaysiaGazette