Seorang juruteknik maut selepas motosikal ditunggang nya terbabas sebelum digilis kenderaan lain manakala rakannya parah dalam nahas di Kilometer 207 Lebuh Raya Utara - Selatan (arah selatan), pagi tadi.

ALOR GAJAH – Seorang juruteknik maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum digilis kenderaan lain manakala rakannya parah dalam nahas di Kilometer 207 Lebuh Raya Utara – Selatan (arah selatan) pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu, mangsa, M.Kumaresan, 29, maut di lokasi dalam keadaan hancur separuh badan manakala rakannya, M. Satiyasilan, 27, patah tulang pinggang.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan membabitkan lima kenderaan masing-masing dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

Ia melibatkan motosikal jenis Kawasaki KR150 ditunggang si mati, Yamaha RXZ rakannya, Toyota Vios, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dan pacuan empat roda jenis, Ford Ranger.

“Sebaik tiba di lokasi, motosikal si mati telah bergesel dengan RXZ rakannya menyebabkannya terjatuh di lorong tengah lebuh raya.

“Kemudian Vios yang datang dari lorong tengah mengelak ke lorong kanan namun dilanggar oleh Alphard yang berada di laluan itu dan Ford Ranger pula telah melanggar salah sebuah motosikal terlibat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal masih belum dapat mengenal pasti kenderaan yang telah melanggar si mati.

“Nahas mengakibatkan separuh badan mangsa hancur dipercayai telah digilis oleh kenderaan lain yang tidak pasti dari lorong tengah membawa ke lorong kanan.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette