KUALA LUMPUR – Polis Daerah Johor Bahru Selatan mengesahkan video tular yang memaparkan seorang lelaki tempatan yang mengeluarkan kata-kata kesar terhadap Ketua Polis Balai Setia Indah di sini.
Kejadian itu dilaporkan berlaku pada 21 Ogos lalu, lebih kurang jam 11.12 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Selatan, Lim Jit Huey mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, lelaki yang berusia 44 tahun itu mengeluarkan bahasa kesat dalam bahasa Mandarin kepada pegawai dan anggota balai polis tersebut.
Hasil siasatan polis mendapati punca kejadian disebabkan suspek tidak puas hati dengan pegawai dan anggota polis balai itu yang tidak menangkap pemiutang yang menagih hutang dari lelaki itu di premis perniagaannya.
Polis mendapati suspek mempunyai penyakit mental atau kecelaruan bipolar serta mengalami keadaan emosi luar biasa yang disahkan oleh perubatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Selain itu dia juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak melebihi RM50,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Jit Huey berkata, kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi. – MalaysiaGazette