Taiwan destinasi selamat dan mesra Muslim termasuk kepada wanita berhijab.

MENGEMBARA ke negara bukan Islam sering kali menjadi cabaran besar kepada pelancong Muslim terutamanya dari segi makanan halal, tempat bersuci dan bersolat.

Meskipun ia bukan penghalang untuk orang Islam terus berkembara di bumi Allah ini, namun sekiranya tiga cabaran utama dapat di atasi, pastinya ia sangat memudahkan.

Taiwan contohnya, meskipun populasi orang Islam hanya 60,000 berbanding keseluruhan penduduk seramai lebih 36 juta orang, ia tetap memberi perhatian kepada sektor pelancongan mesra Muslim.

“Bersih dan Suci” itu terjemahan ringkas perkataan pada mangkuk di sebuah restoran halal di Taiwan.

Pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Taiwan, penulis kagum dengan cara mereka mengendalikan pelancong Muslim.

Hotel-hotel yang mesra Muslim seperti Taipei Caesar Park Hotel di Taipei, Zhongqing, Tai Yi Red Maple Resort bukan sahaja menyediakan arah kiblat dan sejadah di dalam bilik malah turut meletakkan mashaf Al-Quran untuk tetamu.

Jika berada di Taipei, jangan lupa singgah ke restoran berstatus Michelin yang menyediakan mi sup daging enak,

Tandas di dalam bilik juga dilengkapi bidet untuk memudahkan tetamu bersuci.

Cara pengendalian dan menghidang makanan halal di restoran hotel juga membuatkan tetamu beragama Islam tidak was-was untuk makan.

Terdapat juga restoran makanan halal di bandar-bandar sekitar Taiwan.

Selain itu, tempat tarikan pelancong seperti menara Taipei 101 turut menyediakan bilik solat untuk memudahkan pengunjung menunaikan ibadah.

Surau yang disediakan di Menara Taipei 101 di Taiwan.

Dari segi bersuci pula, pengunjung tidak perlu bimbang kerana tandasnya dilengkapi bidet. Malah kemudahan ini boleh ditemui dengan mudah di tempat-tempat lain yang sering dikunjungi orang ramai seperti kawasan rehat dan rawat (R&R) dan taman tema.

Ketenangan minda ketika berkunjung ke Taiwan bukan sahaja dari segi fasiliti tetapi keramahan penduduknya serta tahap keselamatan di sini.

Meskipun berhijab dan berjalan sendirian pada waktu malam, Taiwan tidak menakutkan.

Restoran yang menyediakan makanan Jepun halal di LiPao Land, Taiwan

Walaupun ia bukan negara Islam namun tidak kelihatan orang mabuk berjalan terhuyung-hayang di jalan raya seperti kebanyakan kota di negara lain.

Malah tiada juga gelandangan, mungkin penagih dadah terbaring di kaki lima seperti yang sering kita lihat di Kuala Lumpur.

Tiada siapa yang menganggu walaupun jalan bersendirian. Andai tersesat jalan, boleh sahaja bertanyakan kepada pejalan kaki yang lain walaupun mereka tidak tahu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan kita pula tidak tahu berbahasa Mandarin. Mereka ramah dan tidak bersikap pilih bulu.

Apa yang penting, minta pekerja hotel menuliskan nama hotel dalam bahasa Mandarin sebelum keluar, mudah untuk ditunjukkan kepada orang Taiwan sekiranya diperlukan atau gunakan sahaja aplikasi terjemahan di telefon pintar anda.

Mungkin ini antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan Taiwan menduduki tangga ketiga dalam Indeks Kembara Muslim Global (GMTI) 2023 bagi kategori destinasi bukan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Usaha kerajaan meneroka pasaran pelancongan Muslim membuahkan hasil meskipun penduduk beragama Islam hanyalah minoriti di situ.- MalaysiaGazette