R. Ramanan

PUTRAJAYA – Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Datuk  R Ramanan memberi jaminan tiada dana lebihan akan dipulangkan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada tahun ini.

Ia kerana, beliau akan memastikan seluruh dana yang diperuntukkan kepada unit berkenaan dimanfaatkan sebaiknya untuk membantu masyarakat India di seluruh negara.

“Kalau dana ini tidak habis digunakan akan dipulangkan, sudah 16 tahun berturut-turut dana MITRA dipulangkan.

“Kali ini saya akan pastikan tidak ada dana MITRA dipulangkan, itu  jaminan saya boleh bagi,” katanya ketika sidang media pengumuman status program-program MITRA bagi tahun ini.

Terdahulu beliau berkata, sehingga semalam sebanyak RM3.590 juta telah disalurkan kepada kepada Pusat Khidmat Rakyat di 36 Parlimen.

“11 permohonan bernilai RM1.1 juta dalam proses bayaran dan dijangka dalam minggu pertama September,” ujarnya.

Selain itu Ramanan turut memaklumkan sebanyak 6,000 komputer riba akan diedar kepada 525 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) bermula bulan ini melibatkan dana keseluruhan RM3 juta.

Ramanan berkata, MITRA juga sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan tiga inisiatif baharu khusus untuk membantu masyarakat India.

“Perkara berkenaan perlu dibincangkan dalam JPPK terlebih dahulu sebelum diputuskan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast