KUALA LUMPUR – Iskandar Investment Berhad (IIB) akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor untuk menyelaraskan pelbagai manfaat susulan pengumuman status Forest City sebagai Zon Khas Kewangan.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim berkata, pihaknya percaya status tersebut akan mewujudkan peluang pelaburan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi serantau.

“Komitmen kami untuk turut serta memastikan kejayaan negeri Johor kekal teguh, dan kami percaya bahawa melalui penyelarasan usahasama, kita dapat mencipta persekitaran yang merangsang kemakmuran ekonomi dan pertumbuhan mampan,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai respon positif terhadap pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung status Zon Kewangan Khas kepada Forest City.

Idzham yang mengalu-alukan keputusan tersebut berkata, kedudukan Medini yang berhampiran Forest City memberi peluang IBB untuk membina sebuah metropolis masa hadapan yang inklusif sekaligus merealisasikan cadangan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

“Dengan infrastruktur yang kukuh, kemudahan pengangkutan yang pelbagai, dan kedudukan strategik yang meletakkan kami hanya 15 minit dari Forest City dan hanya 20 minit ke Singapura, IIB bersedia untuk memanfaatkan peluang daripada Zon Kewangan Khas ini,” katanya lagi.

Menurut Idzham, Johor akan sentiasa menjadi destinasi kompetitif untuk pelaburan dan projek pembangunan IIB di Rantau ini.

“IIB terus berazam untuk menyumbang kepada pertumbuhan berterusan ekonomi Johor, menarik pelaburan, memupuk inovasi, dan mencipta ekosistem yang berkembang yang memberi manfaat kepada masyarakat tempatan dan mahupun serantau,” beliau berkata.- MalaysiaGazette