KUALA LUMPUR – Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) tidak akan mengemukakan permohonan secara rasmi untuk menyertai Barisan Nasional (BN) sebagai parti komponen.
Pendirian itu dinyatakan presidennya, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader dan memberitahu keputusan tersebut dicapai sebulat suara oleh pimpinan parti dan ahli akar umbi parti itu.
Katanya, ahli KIMMA secara sebulat suara telah memutuskan untuk memperkasakan parti sebagai ahli Gabungan UMNO selepas telah bersama dengan parti itu sejak 13 tahun lalu.
“Sejak sekian lama, permohonan kami tidak diterima dan alasan yang diberikan ialah BN gagal mencapai kata sepakat (untuk membenarkan KIMMA menyertainya sebagai parti komponen).
“Ada pihak yang menghalang permohonan kami dan sehingga hari ini, kami masih menunggu jawapan tetapi, berapa lama kita boleh menunggu? Sebagai presiden, saya tidak pasti berapa lama kita boleh terus melakukan ini.
“Mulai sekarang, kami tidak lagi mengemukakan sebarang permohonan untuk menyertai BN sebagai parti komponen tetapi, jika BN menjemput kami, kami akan menerimanya.
“Ini adalah keputusan yang dibuat, bukan oleh saya tetapi oleh semua ahli kita dan keputusan ini telah dimuktamadkan oleh majlis tertinggi kita,” katanya sambil disambut sorakan perwakilan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Susulan keputusan itu, Syed Ibrahim berkata, KIMMA telah memutuskan untuk memberi tumpuan kepada mengukuhkan kedudukannya sebagai parti gabungan UMNO.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini tiada tanda jelas menunjukkan KIMMA diterima sepenuhnya oleh UMNO di peringkat negeri, bahagian dan cawangan.
Justeru, beliau menggesa pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat keputusan inklusif yang tidak akan menyebabkan KiMMA bergelut sendirian.
“Saya faham Datuk Seri (Zahid) perlu menggembirakan ramai orang tetapi KIMMA memerlukan Datuk Seri untuk membuat keputusan yang inklusif.
“Kami lemas dan kami memerlukan saudara besar kami UMNO untuk menyelamatkan kami. Saya tidak mahu masyarakat India Muslim dilayan seperti bola, disepak-sepak.
“Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah mengabaikan kami. Tetapi, sekarang, ramai kanak-kanak India Muslim tidak mendapat peluang untuk belajar di universiti.
“Kami ingin meminta wakil KIMMA dilantik sebagai senator supaya sekurang-kurangnya ada pihak yang boleh menyuarakan isu kami kepada kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid pada sidang media selepas perasmian kongres berkenaan mengakui pihaknya menghadapi kekangan untuk menerima parti baharu sebagai ahli rasmi gabungan BN kerana ia memerlukan persetujuan secara konsesus UMNO, MCA, MIC dan PBRS.
“Bukan mereka (KIMMA) sahaja tapi Friends Of BN punyai pendirian sama tapi kita kena hormat perlembagaan BN
iaitu penerimaan parti itu kena sebulat suara setuju, jadi ini kekangan pada kami.
“Insya-Allah…kita akan lihat ada perubahan, yang penting adalah kebersamaan itu yang kita perlu dokong, bila UMNO sendiri terima KIMMA sebagai parti gabungan secara rasmi mereka sebahagian daripada UMNO,” ujarnya. – MalaysiaGazette
ZAHID HAMIDI kena DEBIK tepat dimata dan batang hidung oleh Parti KIMMA. Jika selain ZAHID HAMIDI pasti ada yang MALU terhina tapi ZAHID adalah steady… SELAMBA TEBAL MUKA. Cari ayat cover. akarumbi UMNO kena hadam betul-betul ayat President KIMMA tu kerana ZAHID mungkin tidak reti BAHASA