KUALA LUMPUR – Seramai 11 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalankan kempen pembersihan dengan mengumpulkan 250 kilogram sampah sarap di pantai Teluk Likas, Kota Kinabalu, kelmarin.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, para pelajar terbabit mengasingkan botol plastik, plastik, tin aluminium dan barangan lain untuk kegunaan kitar semula.
Menurutnya, khidmat komuniti pembersihan sampah perlu penerapan nilai tambah seperti memupuk kesedaran pengunjung di mana pelajar berkenaan mengedarkan risalah kempen kesedaran pembungkusan sampah yang betul kepada pengunjung pantai pada hari kedua dengan membuat pengasingan sampah.
“Usaha komuniti pelajar UPM untuk memindahkan ilmu bersama komuniti itu menyahut salah satu strategi Empat P iaitu Pemindahan Ilmu kepada komuniti seperti yang dihasratkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin,” katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu, Ketua Bahagian Perumahan dan Penempatan (BPP) UPM, Mohamed Shukri Mohamed Noor berkata, seramai 11 pelajar terlibat merupakan wakil Majlis Perwakilan Luar Kampus dan Majlis Perwakilan Pelajar UPM anjuran BPP UPM.
“Pada bulan hadapan, kami bercadang untuk membuat kempen kesedaran menjana pembersihan sampah kepada keuntungan dengan penduduk kampung air di Pulau Gaya,” katanya.
Ahli Majlis Perwakilan Luar Kampus UPM, Ainur Elida Irdina Mat Zahari berkata, usaha pelajar itu juga selaras dengan sasaran 12, 13 dan 14 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2015.
Kempen pelajar UPM menyasarkan matlamat SDG iaitu pembersihan sampah, tanggungjawab pengguna dan kempen untuk kesihatan dan kesejahteraan manusia yang boleh membantu industri pelancongan di Sabah. – MalaysiaGazette