Saiful Zaini Mohd Bokhari

KUANTAN – Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) memberhentikan Loji Rawatan Air Sungai Keratong (LRASK) terpaksa dihenti tugas pukul 2.30 petang tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, perkara tersebut dilakukan ekoran sumber air mentah Sungai Keratong masih tercemar.

“Hal ini berpunca daripada sumber air mentah Sungai Keratong yang masih tercemar gagal dirawat dan pengeluaran air LRASK tidak melepasi Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“PAIP sentiasa memantau kualiti air terawat yang diproses di LRA setiap jam bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pengguna,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Saiful Zaini, bekalan alternatif seperti lori tangki dan tangki statik akan diteruskan di kawasan-kawasan yang masih terjejas sehingga keadaan kembali terkawal dan kawasan terjejas kembali pulih bekalan air sepenuhnya.

Beliau berharap semua warga kerja PAIP, operator-operator air negeri lain dan agensi berkaitan yang terlibat dengan operasi Emergency Plan (ERP) dapat bertungkus-lumus dalam memberi bekalan air alternatif agar dapat meminimakan kesulitan yang dihadapi para pengguna yang terjejas.

“PAIP juga dengan rendah diri dan berbesar hati ingin memohon para pengguna untuk terus bersabar dan memahami kesulitan yang dihadapi.

“LRASK akan kembali operasi sekiranya keadaan air mentah dan proses air terawat adalah selamat untuk digunakan,” jelasnya.

Pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan berkenaan perkhidmatan air boleh menghubungi talian Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) di talian 09-573 9999. – MalaysiaGazette