KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu syarat dikenakan untuk pengambilan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diteliti semula khususnya bagi orang kurang upaya (OKU).
Ini selepas Alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Ruzimi Mohamed membangkitkan terdapat syarat ‘perlu ada kedua-dua tangan’ untuk memohon TVET.
Anwar berkata, perkara ini akan dimaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, selain dibawa kepada Jemaah Menteri.
“Maaf, saya tidak maklum mengenai perkara ini. Ia (kajian semula syarat pengambilan program TVET) langkah supaya semua agensi kerajaan dan kementerian memastikan pengambilan golongan OKU ke program TVET.
“Majlis TVET dipengerusikan Datuk Seri Ahmad Zahid. Saya akan beritahu dia walaupun ada kelonggaran untuk OKU, tetapi janganlah kenakan syarat seperti dua tangan. Syaratnya mesti yang ada keupayaan.
“Insya-Allah ini boleh, kita beri ruang dan saya rasa tiada masalah,” katanya dalam program Temu Anwar di UTM di sini hari ini.
Dalam sesi soal jawab, Ruzimi yang juga seorang OKU berkata, terdapat kekangan dihadapi pelajar kurang upaya dalam permohonan program TVET.
Katanya, ada syarat adalah perlu mempunyai kedua-dua tangan sedangkan ada OKU yang boleh melukis dan menulis menggunakan kaki dan mulut.
Beliau juga bertanya mengenai kuota satu peratus pengambilan pekerja OKU dalam perkhidmatan awam kerana ketika ini hanya empat kementerian memenuhi kuota tersebut.
Anwar berkata, beliau akan membawa isu berkenaan kuota pekerjaan golongan OKU dalam kementerian dan agensi kerajaan ke mesyuarat Jemaah Menteri.
“Saya setuju. Saya akan bawa (isu kuota pengambilan pekerja OKU) dalam masyarakat jemaah menteri supaya dapat pastikan semua agensi kerajaan dan kementerian melaksanakan pengambilan pekerja OKU mengikut kuota satu peratus,” katanya.-MalaysiaGazette