Skuad hoki lelaki 5 sebelah

KUALA LUMPUR – Hasrat skuad hoki lelaki 5 sebelah (5s) untuk meraih tempat ketiga di Kejohanan Hoki 5’s Piala Asia 2023 tidak kesampaian selepas tunduk kepada Oman 4-5 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, malam tadi.

Pada perlawanan berlangsung di Salalah, Oman, tuan rumah terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan padang Aiman Madit pada minit keenam sebelum pemain negara Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin melakukan jaringan penyamaan selang seminit kemudian.

Skuad negara menggandakan gol menerusi jaringan padang Muhammad Muhibuddin Moharam pada minit ke-11 namun pemain lawan Khalid Al Shaaibi melakukan jaringan balas pada minit sama bagi mengikat kedudukan 2-2 pada separuh masa pertama.

Babak kedua perlawanan bersambung, Oman kembali di depan selepas Aiman sekali lagi membuat jaringan padang pada minit ke-19.

Mohamad Kamarulzaman membuktikan skuad negara pantang menyerah kalah apabila kembali menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang selang tiga minit kemudian.

Aksi berbalas jaringan berterusan selepas Khalid menambah gol keempat buat Oman pada minit ke-24 yang kemudiannya disusuli jaringan penyamaan skuad negara menerusi Mohamad Akhimullah Anuar, dua minit kemudian.

Namun, jaringan pemain Oman, Rashad Al Fazari pada minit terakhir  perlawanan memastikan kemenangan mutlak pasukan itu, sekali gus mengakhiri kempen kejohanan di halaman sendiri dengan meraih tempat ketiga.

Keputusan dilakar skuad 5s kebangsaan bagaimanapun tidak mengubah hakikat bahawa Malaysia telah mengesahkan tiket lebih awal ke Piala Dunia Hoki 5’s Lelaki 2024 selepas berada dalam kelompok empat pasukan terbaik dalam kejohanan ini.

“Perlawanan dengan Oman untuk tempat ketiga dan keempat bukan satu perlawanan yang mudah dan kami telah melakukan kesilapan. Namun, apa yang penting misi utama iaitu layak ke Piala Dunia telah tercapai.

“Pertandingan kelayakan Asia selalunya merupakan pertandingan yang sukar kerana semua pasukan memberikan saingan yang hebat. Ia merupakan pengalaman pembelajaran bagi sebahagian pemain,” kata ketua jurulatih hoki lelaki 5s kebangsaan Wallace Tan menerusi kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Sementara itu, pasukan India muncul juara pada kejohanan tersebut apabila menewaskan Pakistan dalam penentuan shoot out (2-0) selepas terikat 4-4 pada masa perlawanan sebenar. – BERNAMA